Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Telefon 06-7624543 samb. 141

30 November, 2009

GURU PGSR KERJASAMA ANJUR PAMERAN WAJ3104

Editor Laman Blog JPM amat kagum dengan semangat yang ditunjukkan guru-guru PGSR sempena penganjuran Pameran Bahan Bantu Mengajar.
Bermula dengan pengarah projek hinggalah ke jawatankuasa kerja sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bagi menjayakan pameran berkenaan. Perkara yang paling editor kagumkan ialah keikhlasan jawatankuasanya yang sanggup bertanya, meminta pandangan dan nasihat daripada pensyarah masing-masing tanpa mengira waktu dan keadaan.
Kalau hendak dibuat perbandingan dari segi usia, kebanyakan guru PGSR ini sebaya dengan pensyarah JPM sendiri. Bagi editor sendiri, inilah kejayaan hasil didikan para pensyarah dalam bilik kuliah yang diterjemahkan semula dalam bentuk amali. Tambahan pula dalam sukatan subjek WAJ3104 ada diajar bagaimana hendak menganjurkan pameran dan seminar yang besar. Mungkin kehebatan mereka ini boleh dijadikan 'penanda aras' untuk beberapa siri penganjuran pada masa akan datang. Pameran mereka ini mendapat kerjasama erat pihak tentera (Kem Rasah) yang telah sudi memasang empat buah kanopi vip secara percuma, di samping bantuan pihak pengurusan institut terutama Timbalan Pengarah En. Tan Ying Kee. Kepada pembaca sekalian, jemputlah ke pameran berkenaan hari ini (Selasa - 1 Disember, 2009) jam 2.00 hingga 6.00 petang di Dataran Melewar. Saksikan pula hasil kerja tangan, kreativiti dan inovasi mereka menerusi bbm yang dipamerkan. Tahniah, cikgu. - OLEH MERPATI PUTIH.

PENSYARAH JPM GUNA PAUTAN LAMAN BLOG ... ULANG KAJI WAJ 3104

Buat julung kalinya, para pensyarah JPM yang mengajar subjek WAJ 3104 Literasi Bahasa Melayu PGSR berpeluang menggunakan sistem pautan nota subjek yang terdapat dalam Laman Blog JPM untuk ulang kaji pelajaran dalam kelas.
Sistem pautan nota subjek berkenaan yang baru diaktifkan itu menyediakan koleksi soalan objektif dan spara tanpa jawapan.
Beberapa pensyarah JPM yang pertama kali menggunakan kemudahan ini berpendapat, kaedah ini amat baik dan perlu dikembangkan untuk subjek lain. Walau bagaimanapun, sistem pautan ini dalam proses pembinaan. Sementara itu, Penyelaras Subjek WAJ3104 JPM, Faiziah Shamsudin berpendapat, pengajaran dan pembelajaran atas talian memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah berkongsi maklumat dan kemudahan. Seterusnya beliau yakin, matlamat kerajaan merealisasikan konsep 1 Malaysia akan mudah dicapai menerusi perkongsian 1 kemudahan - OLEH MERPATI PUTIH.

28 November, 2009

JEMPUTAN KE PAMERAN BAHAN BANTU MENGAJAR

Pelajar PGSR Kohot 1 yang mengambil kursus wajib WAJ 3104 Literasi Bahasa Melayu akan mengadakan pameran sehari bahan bantu mengajar pemulihan BM pada 1 Disember, 2009 ini. Penghulu program PGSR Saudara Mahasan Mohd. Daud dari Unit PGSR Kajian Sosial Kohot 1 ketika dihubungi berkata, pameran tersebut akan diadakan pada hari Selasa ini bermula jam 2.00 hingga 6 petang."Pada mulanya kami cadang pemeran tersebut dijalankan di lobi Pusat Sumber, tetapi oleh kerana pihak tentera sudi meminjamkan kanopi secara percuma, maka pameran tersebut dipindahkan ke Dataran Melewar", jelas Mahasan lagi. Perasmian pembukaan akan disempurnakan Timbalan Pengarah IPG Kampus Raja Melewar, En. Tan Ying Kee. Semua pensyarah dan pelajar dijemput hadir. Pelbagai atur cara telah disusun atur sepanjang pameran seperti kuiz, cabutan nombor bertuah dan sebagainya. Menurut Mahasan, beliau beliau sangat berpuas hati dengan semangat yang dipamerkan oleh rakan-rakan PGSR terutama kerja-kerja persiapan awal yang bermula petang semalam. OLEH - MERPATI PUTIH

26 November, 2009

Kesian Kak Ros ... Berhari Raya di Wad Hospital


Untuk makluman pembaca Puan Rosaini Khalid salah seorang pensyarah kanan JPM, masih lagi terlantar di bilik 2, Wad 2B Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Kalau kita buat perkiraan, rasa-rasanya sudah hampir satu bulan beliau terlantar di HTJ. Ketika dihubungi menerusi telefon tengah hari ini Pn. Rosaini berkata, beliau masih 'ditahan' oleh doktor yang merawatnya kerana ada beberapa lagi siri ujian yang perlu dijalani. Inilah contoh pengorbanan yang terpaksa diharungi beliau sempena Aidiladha kali ini. Walau bagaimanapun kesihatannya bertambah baik. Kepada semua warga IPG Kampus Raja Melewar, beliau menyampaikan salam dan berharap akan kembali bertugas di JPM dalam tempoh terdekat ini.
Bagi pihak editor Laman Blog dan rakan-rakan pensyarah JPM, kami simpati dengan Puan Rosaini dan berdoa semoga Allah s.w.t akan menemukan beliau dengan penawar yang sejati. Percayalah Kak Ros setiap yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya. Sesungguhnya hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahuinya. Kepada rakan-rakan JPM, jemputlah layari http://rantaianimpian.blogspot.com untuk menyelami suara hari beliau, atau klik icon pautan di bawah.(Nampaknya Kak Ros beraya di hospital tahun ini ...) - OLEH MERPATI PUTIH

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA ….


Sempena Aidiladha atau lebih dikenali hari raya korban ini, wajar sekali kita sama-sama menyingkap makna dan pengajaran dari peristiwa qurban yang melibatkan Nabi Ibrahim a.s. dan putera baginda Nabi Ismail a.s. Di sebalik peristiwa ke atas baginda berdua, yang terserlah adalah nilai taqwa, hasrat mempertahankan hak dan menolak kebatilan.

Pada masa sama kita perlu meluangkan sedikit waktu muhasabah diri di samping merenung tanggungjawab kita sebagai pendidik kepada bakal-bakal guru. Adakah selama ini tanggungjawab ini telah kita laksanakan setimpal dengan ganjaran dan perghormatan yang kita terima ?

Semoga Allah s.w.t. merestui amal bakti, sadaqah jariah dan pengorbanan kita.

Salam Eidul Adha Minal Adin Walfaizin daripada editor Laman Blog JPM kepada muslimin dan muslimat. OLEH - MERPATI PUTIH

22 November, 2009

LAWATAN KE BANDUNG ... Pengalaman Pensyarah JPM


Pada 25 hingga 28 Januari lalu, seramai tiga orang pensyarah JPM bersama keluarga masing-masing telah melawat Bandung dan Jakarta, Indonesia. Bertolak dari LCCT kira-kira jam 8.30 pagi dan tiba di Jakarta jam 9.30 pagi (waktu tempatan). Kami disambut oleh Ibu Yanti, pemandu pelancong di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta. Seterusnya dibawa makan tengah hari di Restoran Masakan Padang di pinggir Jakarta.
Di sana suasananya sama seperti di Malaysia kerana ditemui ramai rakyat Malaysia sambil kedengaran alunan pembesar suara beberapa lagu P. Ramlee yang sememangnya menyambut kehadiran kami dengan seribu satu pertanyaan. Selepas zohor kami di bawa melawat ke Taman Mini Indonesia. Sepanjang perjalanan, kedengaran di sana sini bunyi tiupan wisel.
Setelah diamati rupa-rupanya mereka pengawal lalu lintas sukarela yang mengawal 'marcet' di jalan-jalan kota Jakarta. Pada malam harinya kami bergerak ke daerah Puncak. Di sana kami menikmati 'Sup Bontot' (sup ekor) dan minuman 'Bandret' iaitu sejenis minuman tenaga yang dicampur kopi, rempah ratus dan susu. Hari Kedua - Selepas sarapan pagi di Puncak, kami ke Tangkuban Perahu. Sambil dihidangkan dengan aroma belerang dan gelagat penjaja jalanan yang terlalu memaksa, hati kami terhibur setelah melihat panorama indah di puncak gunung berkenaan. Rupa-rupanya pada hari ke dua itulah berlakunya gerhana matahari penuh. Dalam perjalanan pulang, kami di bawa melawat ladang teh dan kolam air panas. Sebelah petang, kami ke pusat bandar Bandung yang menyajikan pemandangan yang juga jauh berbeza dengan di Malaysia. Pada sebelah petangnya kami dibawa pemandu pelancong ke Restoran Kampong Daun yang terletak di lereng sebuah bukit. Kami cuba memesan sepinggan dua mee bandung yang popular di Muar, Johor dan segelas dua air sirap bandung. Rupa-rupanya di Bandung tidak ada mee bandung dan air sirap bandung. Satu lagi peristiwa yang agak pelik di kota Jakarta ialah 'pekerjaan' sepenuh masa sebagai 'penumpang mobil jalanan' yang biasanya dilakukan wanita berusia, sambil mendukung anak kecil. Golongan ini akan melambai-lambaikan tangan ke arah kereta yang melintasi jalan raya utama, iaitu beberapa kilometer sahaja dari pusat bandar Jakarta. Mereka berbuat begitu kerana pihak berkuasa di bandar berkenaan akan menyaman mana-mana kenderaan yang memandu bersendirian. Hari ketiga - kami bersiap untuk pulang ke Malaysia. Kami menaiki pesawat Air Asia jam 10.00 pagi dan sampai di LCCT kira-kira jam 12.00 tengah hari waktu Malaysia. Dalam pesawat kami terfikir peribahasa 'Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Lebih elok lagi di negara sendiri'. - OLEH A. RAHIM ISMAIL

19 November, 2009

BILIK PENSYARAH BERUBAH WAJAH ... Sentuhan kreatif pensyarah JPM


SEREMBAN - Kajian UKM pada tahun 2007, mendapati seorang daripada lima penduduk di Malaysia berisiko tinggi mengalami stres. Mereka terdiri golongan profesional yang menjawat jawatan tinggi dalam pelbagai sektor termasuk pensyarah di institusi pegajian tinggi tempatan. Salah satu punca ialah persekitaran tempat kerja yang tidak selesa. Justeru itu, Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Raja Melewar telah mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah ini dalam kalangan pensyarahnya.
Baru-baru ini, seramai 11 orang pensyarah diketui Ketua Jabatan Hjh. Amanah Mohd. Noor bersama 20 orang pelajar PISMP (Sains Sosial) Semester 2 telah bergotong-royong mengemas bilik pensyarah berkenaan yang terletak di aras 1 blok B. Kerja-kerja pengubahsuaian dan susun atur perabut serta peralatan sedia ada telah mendapat sentuhan daripada dua orang pereka seni hias dalaman yang berbakat, juga pensyarah JPM Abdul Rahim Ismail dan Mukhtar Darwis - OLEH MERPATI PUTIH

Program Berbuka Puasa Di Hotel Seri Malaysia


SEREMBAN - Majlis Berbuka Puasa anjuran Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar Seremban telah diadakan pada 4 September, 2009 yang lalu bertempat di Hotel Seri Malaysia Seremban, Negeri Sembilan. Pengerusi kebajikan JPM, Hjh. Rafeah Daud ketika dihubungi berkata, objektif penganjuran ialah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pensyarah dengan ahli keluarga masing-masing. Seramai 30 orang pensyarah dan ahli keluarga telah menyertai program kali ini.Turut hadir Ketua Jabatan Pengajian Melayu Hjh Amanah Mohd. Noor dan Ketua Unit Pengajian Melayu Dr. Khairuddin b. Mohamad. Salah seorang pensyarah yang turut hadir Mokhtar Darwis berkata, program seperti ini banyak kebaikannya dan berharap program seperti ini akan menjadi program tahunan pada masa akan datang - OLEH MERPATI PUTIH

18 November, 2009

FAIZIAH SHAMSUDIN...Tahniah


Pada 17 dan 18 November, 2009 lalu telah berlangsung Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu V bertempat di Dewan Seminar,Tingkat 1, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Dalam seminar tersebut, salah seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Raja Melewar Pn. Faiziah Hj. Shamsudin telah diberi penghormatan untuk membentangkan kertas penyelidikan beliau bertajuk 'Bongai Sebagai Manifestasi Bahasa dan Budaya Masyarakat Melayu'.Bagi pihak warga jabatan dan sidang editor laman blog rasmi JPM ini, mengucapkan syabas dan tahniah kerana berjaya mengharumkan nama IPG Kampus Raja Melewar - OLEH MERPATI PUTIH

17 November, 2009

PENYU MENANGIS DI RANTAU ABANG ... Pengalaman Manis Peserta Hari Keluarga JPM

KUALA TERENGGANU - Keakraban dan sillarurrahim ahli keluarga Jabatan Pengajian Melayu terserlah dan semakin erat melalui program Hari Keluarga JPM 2009. Program yang diadakan pada 10 – 13 Jun di Kuala Terengganu itu telah disertai seramai 50 orang terdiri pensyarah dan ahli keluarga masing-masing.


Rombongan bertolak dari IPG Kampus Raja Melewar pada pagi 10 Jun dengan menaiki bas persiaran yang disewa khas milik Syarikat Trans Warikh Kuala Pilah. Penyelaras program Dr. Khairuddin Mohamad ketika ditemui melahirkan rasa berpuas hati dan gembira kerana program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif yang dirancang.


Pelbagai acara menarik telah disusun atur sepanjang tiga hari dua malam. Antaranya lawaran sambil belajar ke Planeterium Negeri, Kompleks Pusat Islam Kuala Terengganu, Masjid Kristal, Pasar Payang, Arfah Batik, Pasar Raya Terbesar Maydin dan Perusahaan Keropok Lekor di pantai Russila.

Ketua Jabatan, Hajah Amanah Mohd Noor melahirkan rasa terharu dan gembira kerana komitmen yang ditunjukkan oleh ahli jabatan dan menurut beliau aktiviti sebegini dapat mengeratkan lagi sillarurrahim antara keluarga JPM yang datang dari pelbagai negeri seperti dari Kedah, Johor, Melaka dan N.Sembilan sendiri. Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta.

Program kali ini telah mendapat kerjasama erat dari Pusat Sumber Pendidikan (PSPN) Terengganu yang telah menyediakan kemudahan penginapan secara percuma kepada ahli rombongan.

Salah seorang peserta Ghazali Ismail 40 berharap agar program Hari Keluarga seperti ini wajar dijadikan acara tahunan kerana banyak faedahnya. Beliau yang ditemui di Warung Nasi Dagang Kuala Ibai gembira kerana dapat memperkenalkan salah satu makanan utama masyarakat pantai timur kepada para pensyarah. OLEH FAIZIAH HJ. SHAMSUDIN

IPG KAMPUS RAJA MELEWAR PERIHATIN JURANG PENDIDIKAN MURID ASLI

MELAKA - Jurang kemiskinan yang wujud dalam kalangan orang Asli adalah satu fenomena yang mata membimbangkan. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan JHEOA menunjukkan kemiskinan tegar dalam kalangan orang Asli adalah tinggi iaitu melebihi 90 peratus. Kemiskinan menyebabkan pencapaian pendidikan yang rendah dan menyebabkan kemiskinan terus bercambah.

Untuk itu baru-baru ini, Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Raja Melewar telah menganjurkan Kursus Pedagogi Pribumi Model Pensiangan Salinantan (KIA2M) di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka. Seramai 30 orang peserta terdiri para pensyarah, guru besar, pegawai JPNS dan guru KIA2M telah dipilih mengikuti kursus ini.

Sepanjang dua hari berkursus para peserta diberi pendedahan tentang ilmu berkaitan pedagogi pribumi iaitu ‘Kenali Pribumi’ ,’Kaedah Tulisan Cantik’, ‘Membaca Cepat’ dan ‘Serlah Bacaan’.

Kursus dikendalikan oleh tiga orang penceramah iaitu Ramunah Yas dari SK Ayer Panas, Pengkalan Hulu Perak, merupakan anak pribumi yang berjaya. Beliau merupakan salah seorang penceramah yang diundang khas untuk menjayakan program ini. Selain itu IPG Kampus Raja Melewar juga mengundang Surayah Zaidon dan Roslan Nekhmat (Selan Osni).

Salah seorang peserta Abd. Karim Shafie, 50 Guru Besar di SK Sungai Sampo berkata, kursus ini memberi banyak manfaat dan ilmu baru kepada beliau yang telah menjadi guru besar di sekolah orang asli sejak beberapa tahun lalu.

Seorang lagi peserta Hida Abd. Hamid 48, berpendapat kursus ini memberi banyak pendedahan kepada beliau memandangkan beliau masih baru dalam pengurusan sekolah orang asli di Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Kursus dirasmikan oleh Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Hjh Asmah Yahya. Semasa berucap beliau melahirkan rasa puas hati dan gembira dengan usaha yang telah diambil oleh Jabatan Pengajian Melayu untuk menganjurkan kursus seperti ini. “Menerusi kursus ini diharap para peserta akan mendapat idea baru untuk mengajar kelas KIA2M orang Asli,” tambah beliau. OLEH FAIZIAH HJ. SHAMSUDIN

PELAJAR KPLI MAJOR BM RAI PENSYARAH DI ROMPIN BEACH RESORT

KUALA ROMPIN - Orang Berbudi Kita Berbahasa, Orang Memberi Kita Merasa. Begitulah indahnya peribahasa Melayu untuk mengenang budi orang yang berjasa. Untuk itu seramai 40 pelajar KPLI (SR) Major BM telah berkumpul di Rompin Beach Resort, Kuala Rompin, Pahang telah mengambil iniseatif untuk menganjurkan Malam Sekuntum Kasih untuk meraikan 10 pensyarah Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Raja Melewar. Program julung kali itu telah dianjurkan pada 25-26 Oktober 2009 turut dihadiri Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Amanah Mohd. Noor.

Pelbagai acara telah disusun atur oleh pihak pengajur seperti sukaneka, sukan air, pertandingan membina istana pasir termasuk ceramah Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) yang disampaikan dua orang fasilitator Azmi Ayub dan Rosaini Khalid.

Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Amanah Mohd Noor ketika berucap di majlis tersebut telah memuji para pelajar kerana berjaya menganjurkan program ini. “ Semoga segala pengalaman yang diperoleh sepanjang penganjuran program ini akan memberikan pengalaman mengurus kepada para pelajar terlibat ” tambah Amanah lagi.

Bila ditanya mengenai ceramah PJKR beliau menambah, matlamat penganjuran ceramah adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai kepentingan PKJR sebagai subjek wajib yang perlu diajar di sekolah rendah dalam pengajaran Bahasa Melayu.

Dalam pertandingan sukaneka dan membina istana pasir, pasukan yang diketuai Faiziah Samsudin telah menjadi johan keseluruhan mengalahkan lima pasukan lain. Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Ketua Unit Pengajian Melayu Dr. Khairuddin Mohamad.

Pengarah projek Wan Norhafizan 21, ketika ditemui melahirkan rasa terharunya kerana berjaya menganjurkan program yang begitu bermakna bagi mereka ini. Menurut beliau kursus PKJR ini amat berguna kepada mereka memandangkan mereka akan mula mengajarnya subjek berkenaan pada tahun hadapan.

Sementara itu pensyarah JPM yang sempat ditemui Mariam Che Latt berkata, program serampang dua mata ini perlu dianjurkan setiap tahun kerana ia merapatkan lagi hubungan silaturahim antara pelajar dan pensyarah. “ Menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan inilah, para pensyarah dapat mengenal secara lebih dekat hati budi para pelajar masing-masing,” tambah beliau lagi. OLEH MERPATI PUTIH

HAMIZI & FARAH IZZAH – Mutiara JPM



SEREMBAN - Sebut sahaja nama Farah Izzah dan Hamizi Mahpop, hampir semua warga IPG Kampus Raja Melewar akan mengenali mereka sebagai penyajak dan penyair muda yang berbakat. Ini berikutan penglibatan aktif Farah dan Hamizi yang sering terpilih mewakili institut ke beberapa pertandingan mendeklamasi sajak dan mendendangkan syair peringkat negeri dan kebangsaan.

Antara pertandingan yang pernah disertai dan berjaya memperoleh hadiah ialah Pertandingan Membaca Puisi Pelbagai Kaum IPTA Zon Selatan anjuran DBP, Pertandingan Mendeklamasi Sajak Kemerdekaan peringkat Negeri Sembilan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan serta Persatuan Penulis Negeri Sembilan. Paling terbaru ialah pertandingan mendendangkan syair IPTA sempena Pertabalan YAM Tuan Besar Negeri Sembilan bertempat di Padang Awam Seri Menenti, Kuala Pilah.

Dalam pertandingan tersebut Farah Izzah atau nama penuhnya Nur Farah izzah Mustakim telah menjadi johan dengan menerima wang tunai RM 300.00, sijil penyertaan dan hadiah iringan. Manakala Hamizi Mahpop telah memperoleh saguhati dengan menerima wang tunai RM 50.00, sijil penyertaan dan hadiah iringan. Hadiah disampaikan oleh wakil pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan.

Ketika ditanya tentang cita-cita Farah Izzah pelajar dari unit PISMP Matematik 1 semester 6 itu berhasrat menjadi guru cemerlang pada masa depan. Mengenai hobi pula Farah yang baru berusia 22 tahun menjadikan membaca novel sebagai hobi masa lapang. Anak pertama dari empat adik beradik itu, berterima kasih kepada para pensyarah Jabatan Pengajian Melayu yang telah banyak membimbing beliau ke peringkat yang ada sekarang ini.

Sementara itu Hamizi Mahpop, 22 tahun pelajar PISMP Matematik 2 semester 6 ketika ditemui memberitahu minat beliau terhadap puisi terutama sajak dan syair ini bermula sejak dari bangku sekolah lagi. Anak ke empat dari lima adik beradik itu turut meminati penyajak terkenal tanah air seperti Sasterawan Negara A Samad Said. Hamizi yang gemar melayari internet dan bersukan di waktu lapang berhasrat untuk menjadikan seorang pakar matematik di suatu masa nanti.

Ketua Unit Pengajian Melayu yang juga pensyarah pembimbing sajak dan syair Dr. Khairuddin Mohamad berkata, bakat Hamizi dan Farah dalam sajak dan syair telah lama dikesan. “ Bimbingan dan latihan yang diberikan secara berterusan telah berjaya memantapkan persembahan dan teknik mereka dan sekali gus berjaya menjuarai beberapa pertandingan yang disertai, ” jelas beliau lagi - OLEH MERPATI PUTIH

PAMERAN BBM PEMULIHAN – TONJOL KREATIVITI PELAJAR PISMP IPG RAJA MELEWAR

SEREMBAN - Seramai 200 orang pelajar dari sembilan unit PISMP semester 2 IPG Kampus Raja Melewar telah mempamerkan bahan bantu mengajar ciptaan mereka baru-baru ini. Bahan pameran meliputi semua aspek kaedah dan teknik pengajaran yang telah dipelajari di bilik kuliah dan fokus utama adalah menyediakan bahan bantu belajar pemulihan bahasa Melayu.



Ketua Jabatan Pengajian Melayu Amanah Mohd. Nor berkata, subjek Literasi Bahasa Melayu (WAJ 3104) merupakan subjek wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar program PISMP semester 2. “Subjek ini menyumbang empat jam kredit yang merangkumi kuliah, tutorial, pameran dan Ujian Akhir Kursus kepada pelajar terlibat,” jelas beliau lagi.

Pengarah Projek Mohd. Reza 20, pelajar Unit Sains ketika ditemui menjelaskan bahawa tema pameran kali ini adalah ‘Bahan Bantu Megajar Pemulihan Aspirasi kepada 1 Malaysia’ dan berlangsung selama dua hari pada 29-30 September 2009.

Upacara perasmian pameran disempurnakan oleh Pengarah IPG Kampus Raja Melewar Hjh. Asmah Yahya. Ketika berucap di majlis tersebut Hjh. Asmah berkata, pameran ini amat berjaya dan telah menunjukkan peningkatan yang lebih baik berbanding tahun sebelum ini.

“Saya yakin semua ini adalah hasil bimbingan dan tunjuk ajar para pensyarah Jabatan Pengajian Melayu di samping kerjasama dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh semua pelajar terlibat,” jelas Hjh. Asmah lagi.

Salah seorang pengunjung pameran Yaakob Atan pensyarah Jabatan Sains Sosial berpendapat, pameran seperti ini memberi peluang kepada pelajar mempamerkan produk ciptaan sendiri dan dalam masa yang sama dapat memberikan ilham kepada pelajar lain untuk mencipta BBM yang lebih baik. OLEH FAIZIAH HJ. SHAMSUDIN

PROGRAM ZIARAH KASIH DI WAD 2B HOSPITAL TUANKU JAAFAR – Kak Rosaini Khalid Terharu ....

SEREMBAN - Kak Ros atau nama penuhnya Rosaini Khalid pensyarah kanan Jabatan Pengajian Melayu dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban sejak 4 November lalu berikutan keadaan kesihatannya kurang memuaskan.

Difahamkan doktor yang merawatnya mendapati beliau memerlukan rehat yang secukupnya sebelum boleh kembali bertugas. Sumber hospital memberitahu, Kak Ros dimasukkan ke wad setelah kakinya membengkak kerana jangkitan kuman dalam darah.



Sebagai tanda simpati seramai 11 orang pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Raja Melewar melakukan kunjungan kasih ke Wad 2B Hospital Besar Tuanku Jaafar, Seremban baru-baru ini. Lawatan diketuai Ketua Unit Pengajian Melayu Dr. Khairuddin Mohamad. Sehingga berita ini ditulis, keadaan kesihatan beliau stabil dan telah dipindahkan ke Wad 2C hospital yang sama.

Ketika ditemui, Rosaini Khalid yang merupakan pensyarah paling lama berkhidmat di jabatan ini sangat terharu dengan lawatan tersebut. Walaupun bertarung dengan beberapa penyakit yang dihidapinya, namun dalam pertemuan singkat itu jelas keceriaan terpancar pada wajah beliau. Kak Ros sangat berharap agar hubungan akrab yang ditunjukkan oleh seluruh warga jabatan akan berterusan sampai bila-bila.

Sementara itu Dr. Khairuddin Mohamad berkata lawatan yang beliau namakan ‘Ziarah Kasih’ ini merupakan salah satu program yang cuba menerapkan semangat ‘Pengajian Melayu’ dalam kalangan warga institut demi meningkatkan semangat kekitaan.

“Budaya Melayu kaya dengan kesantunan, maka sebab itulah program ziarah ini disusun atur kerana percaya dapat menjadi wadah untuk semua merapatkan hubungan silaturahim tanpa mengira peringkat umur,“ tambah Dr. Khairuddin.

Sempena lawatan tersebut, Dr. Khairuddin turut menyampaikan sumbangan ikhlas jabatan dan berharap agar beliau cepat sembuh. OLEH AZMI AYUB

15 November, 2009

IPG RAJA MELEWAR KAJI BONGAI

Seramai 40 orang guru pelatih KPLI Major Bahasa Melayu, IPGM Kampus Raja Melewar telah menyertai Program Jejak Budaya 2 bertempat di Kampong Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan baru-baru ini. Program tiga hari dua malam itu turut disertai 12 pensyarah Jabatan Pengajian Melayu.

Penyelaras program Dr. Khairuddin Mohamad berkata, tahun 2009 merupakan tahun ke-2 pihaknya menjalankan projek yang sama di kampung berkenaan dan berharap akan menjadi program tahunan IPGM Kampus Raja Melewar.

Sepanjang program berjalan, semua guru pelatih terlibat tinggal bersama-sama keluarga angkat masing-masing. Selain didedahkan dengan budaya hidup masyarakat Negeri Sembilan, para peserta juga berpeluang mendengar ceramah bertajuk bongai dan berendui yang telah disampaikan oleh Dato’ Seri Maharaja Dato’ Khalid Bonget salah seorang budayaan tersohor dan pakar rujuk adat pepatih negeri ini.
Pelbagai aktiviti turut disusun atur oleh J/kuasa Homestay Kampong Lonek seperti mengacau dodol, mengemping padi, mengoca ikan, gotong royong membersih kawasan perkuburan, sukaneka dan sebagainya.

Salah seorang peserta Hassan Mahaseng 26, dari Sarawak berkata program seperti ini amat baik kepada semua bakal guru kerana memberi pendedahan sebenar budaya dan cara hidup masyarakat Negeri Sembilan yang mengamalkan adat pepatih.

Sementara itu, pengarah IPGM Kampus Raja Melewar Hjh Asmah Yahya ketika ditemui berkata, antara objektif utama program ini diadakan adalah untuk melahirkan guru permulaan yang mempunyai pengalaman secara terus dan cintakan budaya tempatan. Dalam masa yang sama menyemai jati diri agar kukuh dan mantap dalam membuat perancangan sesuatu program terutama yang melibatkan masyarakat setempat.

Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh YB Tuan Shamsur Kahar Md. Deli, Exco Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Sembilan merangkap ADUN Kawasan Serting. Ketika berucap beliau memuji langkah IPG Kampus Raja Melewar kerana mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan budaya tempatan kepada guru pelatih yang datang dari pelbagai negeri. Gambar dan berita oleh -MERPATI PUTIH