Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Telefon 06-7624543 samb. 141

22 November, 2009

LAWATAN KE BANDUNG ... Pengalaman Pensyarah JPM


Pada 25 hingga 28 Januari lalu, seramai tiga orang pensyarah JPM bersama keluarga masing-masing telah melawat Bandung dan Jakarta, Indonesia. Bertolak dari LCCT kira-kira jam 8.30 pagi dan tiba di Jakarta jam 9.30 pagi (waktu tempatan). Kami disambut oleh Ibu Yanti, pemandu pelancong di Lapangan Terbang Sukarno-Hatta. Seterusnya dibawa makan tengah hari di Restoran Masakan Padang di pinggir Jakarta.
Di sana suasananya sama seperti di Malaysia kerana ditemui ramai rakyat Malaysia sambil kedengaran alunan pembesar suara beberapa lagu P. Ramlee yang sememangnya menyambut kehadiran kami dengan seribu satu pertanyaan. Selepas zohor kami di bawa melawat ke Taman Mini Indonesia. Sepanjang perjalanan, kedengaran di sana sini bunyi tiupan wisel.
Setelah diamati rupa-rupanya mereka pengawal lalu lintas sukarela yang mengawal 'marcet' di jalan-jalan kota Jakarta. Pada malam harinya kami bergerak ke daerah Puncak. Di sana kami menikmati 'Sup Bontot' (sup ekor) dan minuman 'Bandret' iaitu sejenis minuman tenaga yang dicampur kopi, rempah ratus dan susu. Hari Kedua - Selepas sarapan pagi di Puncak, kami ke Tangkuban Perahu. Sambil dihidangkan dengan aroma belerang dan gelagat penjaja jalanan yang terlalu memaksa, hati kami terhibur setelah melihat panorama indah di puncak gunung berkenaan. Rupa-rupanya pada hari ke dua itulah berlakunya gerhana matahari penuh. Dalam perjalanan pulang, kami di bawa melawat ladang teh dan kolam air panas. Sebelah petang, kami ke pusat bandar Bandung yang menyajikan pemandangan yang juga jauh berbeza dengan di Malaysia. Pada sebelah petangnya kami dibawa pemandu pelancong ke Restoran Kampong Daun yang terletak di lereng sebuah bukit. Kami cuba memesan sepinggan dua mee bandung yang popular di Muar, Johor dan segelas dua air sirap bandung. Rupa-rupanya di Bandung tidak ada mee bandung dan air sirap bandung. Satu lagi peristiwa yang agak pelik di kota Jakarta ialah 'pekerjaan' sepenuh masa sebagai 'penumpang mobil jalanan' yang biasanya dilakukan wanita berusia, sambil mendukung anak kecil. Golongan ini akan melambai-lambaikan tangan ke arah kereta yang melintasi jalan raya utama, iaitu beberapa kilometer sahaja dari pusat bandar Jakarta. Mereka berbuat begitu kerana pihak berkuasa di bandar berkenaan akan menyaman mana-mana kenderaan yang memandu bersendirian. Hari ketiga - kami bersiap untuk pulang ke Malaysia. Kami menaiki pesawat Air Asia jam 10.00 pagi dan sampai di LCCT kira-kira jam 12.00 tengah hari waktu Malaysia. Dalam pesawat kami terfikir peribahasa 'Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri. Lebih elok lagi di negara sendiri'. - OLEH A. RAHIM ISMAIL