Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Telefon 06-7624543 samb. 141

15 November, 2009

IPG RAJA MELEWAR KAJI BONGAI

Seramai 40 orang guru pelatih KPLI Major Bahasa Melayu, IPGM Kampus Raja Melewar telah menyertai Program Jejak Budaya 2 bertempat di Kampong Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan baru-baru ini. Program tiga hari dua malam itu turut disertai 12 pensyarah Jabatan Pengajian Melayu.

Penyelaras program Dr. Khairuddin Mohamad berkata, tahun 2009 merupakan tahun ke-2 pihaknya menjalankan projek yang sama di kampung berkenaan dan berharap akan menjadi program tahunan IPGM Kampus Raja Melewar.

Sepanjang program berjalan, semua guru pelatih terlibat tinggal bersama-sama keluarga angkat masing-masing. Selain didedahkan dengan budaya hidup masyarakat Negeri Sembilan, para peserta juga berpeluang mendengar ceramah bertajuk bongai dan berendui yang telah disampaikan oleh Dato’ Seri Maharaja Dato’ Khalid Bonget salah seorang budayaan tersohor dan pakar rujuk adat pepatih negeri ini.
Pelbagai aktiviti turut disusun atur oleh J/kuasa Homestay Kampong Lonek seperti mengacau dodol, mengemping padi, mengoca ikan, gotong royong membersih kawasan perkuburan, sukaneka dan sebagainya.

Salah seorang peserta Hassan Mahaseng 26, dari Sarawak berkata program seperti ini amat baik kepada semua bakal guru kerana memberi pendedahan sebenar budaya dan cara hidup masyarakat Negeri Sembilan yang mengamalkan adat pepatih.

Sementara itu, pengarah IPGM Kampus Raja Melewar Hjh Asmah Yahya ketika ditemui berkata, antara objektif utama program ini diadakan adalah untuk melahirkan guru permulaan yang mempunyai pengalaman secara terus dan cintakan budaya tempatan. Dalam masa yang sama menyemai jati diri agar kukuh dan mantap dalam membuat perancangan sesuatu program terutama yang melibatkan masyarakat setempat.

Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh YB Tuan Shamsur Kahar Md. Deli, Exco Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Sembilan merangkap ADUN Kawasan Serting. Ketika berucap beliau memuji langkah IPG Kampus Raja Melewar kerana mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan budaya tempatan kepada guru pelatih yang datang dari pelbagai negeri. Gambar dan berita oleh -MERPATI PUTIH