Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Telefon 06-7624543 samb. 141

17 November, 2009

PROGRAM ZIARAH KASIH DI WAD 2B HOSPITAL TUANKU JAAFAR – Kak Rosaini Khalid Terharu ....

SEREMBAN - Kak Ros atau nama penuhnya Rosaini Khalid pensyarah kanan Jabatan Pengajian Melayu dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban sejak 4 November lalu berikutan keadaan kesihatannya kurang memuaskan.

Difahamkan doktor yang merawatnya mendapati beliau memerlukan rehat yang secukupnya sebelum boleh kembali bertugas. Sumber hospital memberitahu, Kak Ros dimasukkan ke wad setelah kakinya membengkak kerana jangkitan kuman dalam darah.



Sebagai tanda simpati seramai 11 orang pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Raja Melewar melakukan kunjungan kasih ke Wad 2B Hospital Besar Tuanku Jaafar, Seremban baru-baru ini. Lawatan diketuai Ketua Unit Pengajian Melayu Dr. Khairuddin Mohamad. Sehingga berita ini ditulis, keadaan kesihatan beliau stabil dan telah dipindahkan ke Wad 2C hospital yang sama.

Ketika ditemui, Rosaini Khalid yang merupakan pensyarah paling lama berkhidmat di jabatan ini sangat terharu dengan lawatan tersebut. Walaupun bertarung dengan beberapa penyakit yang dihidapinya, namun dalam pertemuan singkat itu jelas keceriaan terpancar pada wajah beliau. Kak Ros sangat berharap agar hubungan akrab yang ditunjukkan oleh seluruh warga jabatan akan berterusan sampai bila-bila.

Sementara itu Dr. Khairuddin Mohamad berkata lawatan yang beliau namakan ‘Ziarah Kasih’ ini merupakan salah satu program yang cuba menerapkan semangat ‘Pengajian Melayu’ dalam kalangan warga institut demi meningkatkan semangat kekitaan.

“Budaya Melayu kaya dengan kesantunan, maka sebab itulah program ziarah ini disusun atur kerana percaya dapat menjadi wadah untuk semua merapatkan hubungan silaturahim tanpa mengira peringkat umur,“ tambah Dr. Khairuddin.

Sempena lawatan tersebut, Dr. Khairuddin turut menyampaikan sumbangan ikhlas jabatan dan berharap agar beliau cepat sembuh. OLEH AZMI AYUB