Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Telefon 06-7624543 samb. 141

17 November, 2009

PENYU MENANGIS DI RANTAU ABANG ... Pengalaman Manis Peserta Hari Keluarga JPM

KUALA TERENGGANU - Keakraban dan sillarurrahim ahli keluarga Jabatan Pengajian Melayu terserlah dan semakin erat melalui program Hari Keluarga JPM 2009. Program yang diadakan pada 10 – 13 Jun di Kuala Terengganu itu telah disertai seramai 50 orang terdiri pensyarah dan ahli keluarga masing-masing.


Rombongan bertolak dari IPG Kampus Raja Melewar pada pagi 10 Jun dengan menaiki bas persiaran yang disewa khas milik Syarikat Trans Warikh Kuala Pilah. Penyelaras program Dr. Khairuddin Mohamad ketika ditemui melahirkan rasa berpuas hati dan gembira kerana program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif yang dirancang.


Pelbagai acara menarik telah disusun atur sepanjang tiga hari dua malam. Antaranya lawaran sambil belajar ke Planeterium Negeri, Kompleks Pusat Islam Kuala Terengganu, Masjid Kristal, Pasar Payang, Arfah Batik, Pasar Raya Terbesar Maydin dan Perusahaan Keropok Lekor di pantai Russila.

Ketua Jabatan, Hajah Amanah Mohd Noor melahirkan rasa terharu dan gembira kerana komitmen yang ditunjukkan oleh ahli jabatan dan menurut beliau aktiviti sebegini dapat mengeratkan lagi sillarurrahim antara keluarga JPM yang datang dari pelbagai negeri seperti dari Kedah, Johor, Melaka dan N.Sembilan sendiri. Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta.

Program kali ini telah mendapat kerjasama erat dari Pusat Sumber Pendidikan (PSPN) Terengganu yang telah menyediakan kemudahan penginapan secara percuma kepada ahli rombongan.

Salah seorang peserta Ghazali Ismail 40 berharap agar program Hari Keluarga seperti ini wajar dijadikan acara tahunan kerana banyak faedahnya. Beliau yang ditemui di Warung Nasi Dagang Kuala Ibai gembira kerana dapat memperkenalkan salah satu makanan utama masyarakat pantai timur kepada para pensyarah. OLEH FAIZIAH HJ. SHAMSUDIN