Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Telefon 06-7624543 samb. 141

17 November, 2009

IPG KAMPUS RAJA MELEWAR PERIHATIN JURANG PENDIDIKAN MURID ASLI

MELAKA - Jurang kemiskinan yang wujud dalam kalangan orang Asli adalah satu fenomena yang mata membimbangkan. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan JHEOA menunjukkan kemiskinan tegar dalam kalangan orang Asli adalah tinggi iaitu melebihi 90 peratus. Kemiskinan menyebabkan pencapaian pendidikan yang rendah dan menyebabkan kemiskinan terus bercambah.

Untuk itu baru-baru ini, Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Raja Melewar telah menganjurkan Kursus Pedagogi Pribumi Model Pensiangan Salinantan (KIA2M) di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka. Seramai 30 orang peserta terdiri para pensyarah, guru besar, pegawai JPNS dan guru KIA2M telah dipilih mengikuti kursus ini.

Sepanjang dua hari berkursus para peserta diberi pendedahan tentang ilmu berkaitan pedagogi pribumi iaitu ‘Kenali Pribumi’ ,’Kaedah Tulisan Cantik’, ‘Membaca Cepat’ dan ‘Serlah Bacaan’.

Kursus dikendalikan oleh tiga orang penceramah iaitu Ramunah Yas dari SK Ayer Panas, Pengkalan Hulu Perak, merupakan anak pribumi yang berjaya. Beliau merupakan salah seorang penceramah yang diundang khas untuk menjayakan program ini. Selain itu IPG Kampus Raja Melewar juga mengundang Surayah Zaidon dan Roslan Nekhmat (Selan Osni).

Salah seorang peserta Abd. Karim Shafie, 50 Guru Besar di SK Sungai Sampo berkata, kursus ini memberi banyak manfaat dan ilmu baru kepada beliau yang telah menjadi guru besar di sekolah orang asli sejak beberapa tahun lalu.

Seorang lagi peserta Hida Abd. Hamid 48, berpendapat kursus ini memberi banyak pendedahan kepada beliau memandangkan beliau masih baru dalam pengurusan sekolah orang asli di Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Kursus dirasmikan oleh Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Hjh Asmah Yahya. Semasa berucap beliau melahirkan rasa puas hati dan gembira dengan usaha yang telah diambil oleh Jabatan Pengajian Melayu untuk menganjurkan kursus seperti ini. “Menerusi kursus ini diharap para peserta akan mendapat idea baru untuk mengajar kelas KIA2M orang Asli,” tambah beliau. OLEH FAIZIAH HJ. SHAMSUDIN