Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Telefon 06-7624543 samb. 141

17 November, 2009

HAMIZI & FARAH IZZAH – Mutiara JPM



SEREMBAN - Sebut sahaja nama Farah Izzah dan Hamizi Mahpop, hampir semua warga IPG Kampus Raja Melewar akan mengenali mereka sebagai penyajak dan penyair muda yang berbakat. Ini berikutan penglibatan aktif Farah dan Hamizi yang sering terpilih mewakili institut ke beberapa pertandingan mendeklamasi sajak dan mendendangkan syair peringkat negeri dan kebangsaan.

Antara pertandingan yang pernah disertai dan berjaya memperoleh hadiah ialah Pertandingan Membaca Puisi Pelbagai Kaum IPTA Zon Selatan anjuran DBP, Pertandingan Mendeklamasi Sajak Kemerdekaan peringkat Negeri Sembilan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan serta Persatuan Penulis Negeri Sembilan. Paling terbaru ialah pertandingan mendendangkan syair IPTA sempena Pertabalan YAM Tuan Besar Negeri Sembilan bertempat di Padang Awam Seri Menenti, Kuala Pilah.

Dalam pertandingan tersebut Farah Izzah atau nama penuhnya Nur Farah izzah Mustakim telah menjadi johan dengan menerima wang tunai RM 300.00, sijil penyertaan dan hadiah iringan. Manakala Hamizi Mahpop telah memperoleh saguhati dengan menerima wang tunai RM 50.00, sijil penyertaan dan hadiah iringan. Hadiah disampaikan oleh wakil pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan.

Ketika ditanya tentang cita-cita Farah Izzah pelajar dari unit PISMP Matematik 1 semester 6 itu berhasrat menjadi guru cemerlang pada masa depan. Mengenai hobi pula Farah yang baru berusia 22 tahun menjadikan membaca novel sebagai hobi masa lapang. Anak pertama dari empat adik beradik itu, berterima kasih kepada para pensyarah Jabatan Pengajian Melayu yang telah banyak membimbing beliau ke peringkat yang ada sekarang ini.

Sementara itu Hamizi Mahpop, 22 tahun pelajar PISMP Matematik 2 semester 6 ketika ditemui memberitahu minat beliau terhadap puisi terutama sajak dan syair ini bermula sejak dari bangku sekolah lagi. Anak ke empat dari lima adik beradik itu turut meminati penyajak terkenal tanah air seperti Sasterawan Negara A Samad Said. Hamizi yang gemar melayari internet dan bersukan di waktu lapang berhasrat untuk menjadikan seorang pakar matematik di suatu masa nanti.

Ketua Unit Pengajian Melayu yang juga pensyarah pembimbing sajak dan syair Dr. Khairuddin Mohamad berkata, bakat Hamizi dan Farah dalam sajak dan syair telah lama dikesan. “ Bimbingan dan latihan yang diberikan secara berterusan telah berjaya memantapkan persembahan dan teknik mereka dan sekali gus berjaya menjuarai beberapa pertandingan yang disertai, ” jelas beliau lagi - OLEH MERPATI PUTIH