Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Telefon 06-7624543 samb. 141

17 November, 2009

PAMERAN BBM PEMULIHAN – TONJOL KREATIVITI PELAJAR PISMP IPG RAJA MELEWAR

SEREMBAN - Seramai 200 orang pelajar dari sembilan unit PISMP semester 2 IPG Kampus Raja Melewar telah mempamerkan bahan bantu mengajar ciptaan mereka baru-baru ini. Bahan pameran meliputi semua aspek kaedah dan teknik pengajaran yang telah dipelajari di bilik kuliah dan fokus utama adalah menyediakan bahan bantu belajar pemulihan bahasa Melayu.



Ketua Jabatan Pengajian Melayu Amanah Mohd. Nor berkata, subjek Literasi Bahasa Melayu (WAJ 3104) merupakan subjek wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar program PISMP semester 2. “Subjek ini menyumbang empat jam kredit yang merangkumi kuliah, tutorial, pameran dan Ujian Akhir Kursus kepada pelajar terlibat,” jelas beliau lagi.

Pengarah Projek Mohd. Reza 20, pelajar Unit Sains ketika ditemui menjelaskan bahawa tema pameran kali ini adalah ‘Bahan Bantu Megajar Pemulihan Aspirasi kepada 1 Malaysia’ dan berlangsung selama dua hari pada 29-30 September 2009.

Upacara perasmian pameran disempurnakan oleh Pengarah IPG Kampus Raja Melewar Hjh. Asmah Yahya. Ketika berucap di majlis tersebut Hjh. Asmah berkata, pameran ini amat berjaya dan telah menunjukkan peningkatan yang lebih baik berbanding tahun sebelum ini.

“Saya yakin semua ini adalah hasil bimbingan dan tunjuk ajar para pensyarah Jabatan Pengajian Melayu di samping kerjasama dan komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh semua pelajar terlibat,” jelas Hjh. Asmah lagi.

Salah seorang pengunjung pameran Yaakob Atan pensyarah Jabatan Sains Sosial berpendapat, pameran seperti ini memberi peluang kepada pelajar mempamerkan produk ciptaan sendiri dan dalam masa yang sama dapat memberikan ilham kepada pelajar lain untuk mencipta BBM yang lebih baik. OLEH FAIZIAH HJ. SHAMSUDIN