Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Telefon 06-7624543 samb. 141

11 Januari, 2010

Catatan Dr. Maria - Jauh perjalanan luas pemandangan

4 Januari 2010. Bermula kembali perjalananku sebagai pensyarah di IPG Kampus Raja Melewar. Aku telah ditempatkan di Jabatan Pengajian Melayu. Berada di sini bukanlah sesuatu yang asing bagi diriku kerana di kiri kananku terlihat wajah-wajah sahabat yang amat kukenali semasa bertugas di BPG dahulu. Di samping itu sapaan mesra rakan-rakan pensyarah yang baru aku kenali membuat aku berasa gembira berada di sini. Aku mula belajar mengenali sahabat-sahabatku di JPM. Terima kasih kerana sahabat-sahabat di JPM amat membantu dalam proses menyesuaikan diri ini. Aku mula belajar untuk mengenali siapa pelajar-pelajarku dalam kelas Bahasa Melayu Kontekstual. Pertama kali aku mendengar istilah ini, aku tertanya-tanya diri ini apakah yang hendak diajar dalam subjek ini? Aku mula sibuk belajar membuat persediaan bagaimana hendak mengajar dan membaca buku-buku rujukan untuk mengajar keesokan harinya. Aku mula berlatih bergerak turun naik tangga, menyusuri bangunan blok A, B, dan C untuk mencari kelasku. Inilah pengalaman di minggu pertama aku di IPG Kampus Raja Melewar. Inilah rutin harianku kini setelah hampir 12 tahun meninggalkan dunia pensyarah. Alangkah berbezanya dunia pensyarah dengan dunia pengurusan semasa menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah. Tiada lagi kertas kerja yang hendak disediakan. Tiada lagi mesyuarat-mesyuarat penyelarasan yang perlu dihadiri saban hari. Tiada lagi tugasan-tugasan segera yang memerlukan tindakan sertamerta. Tiada lagi surat dan memo yang perlu dibuat untuk dipanjangkan ke unit, bahagian di KPM. Damai, tenang, terurus,berfokus dan bahagia aku di sini. Semoga tahun baru, tugas baru akan mematangkan lagi perjalanan hidupku sebagai pendidik yang tidak jemu-jemu ingin melihat kejayaan anak bangsanya. Agar perjalanan ini akan meluaskan lagi pengalamanku sebagai pendidik. Dulu sebagai perancang, aku membantu membela masa depan pendidikan anak bangsaku menerusi kertas dan pena, melalui kertas kerja dan cadangan pelbagai dasar tetapi hari ini aku adalah pelaksana yang berpijak di bumi nyata, mengajar dan melatih bakal-bakal guru agar menjadi pendidik yang berkesan, berhemah dan bijaksana. Insyallah.