Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Telefon 06-7624543 samb. 141

17 Mac, 2010

Kata Aluan Pengarah dalam Buku Cenderamata Jejak Budaya 3

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, Program Jejak Budaya 3 dapat direalisasikan sekali lagi di Homestay Kampong Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan Pengajian Melayu kerana berjaya melaksanakan program ini dengan jayanya untuk kali ketiga berturut-turut walaupun kumpulan sasarannya berbeza. Tahun ini giliran pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Semester 2 yang mengambil kursus Bahasa Melayu Akademik 1 (Kebudayaan dan Keseniaan Melayu) dan melibatkan seramai 104 orang pelajar. Umum mengetahui, seni dan budaya merupakan sesuatu cabang kehidupan yang menekankan kepada aspek pemuliharaan dan perkembangan. Justeru, amat janggal sekiranya masyarakat Melayu yang semenjak azali lagi mengamalkan kehidupan berteraskan budaya dan peradapan yang unik dan sopan mula terkeluar daripada lingkungan norma ini. Jika kelakuan masyarakat itu selaras dengan kehendak nilai budaya, maka masyarakat itu dikatakan masyarakat berbudaya. Ini selaras dengan tema program ‘Budaya Kita, Wajah Kita’. Saya bagi pihak IPG Kampus Raja Melewar menyokong penuh aktiviti seumpama ini yang saya kira mampu memantapkan pengetahuan dan menampilkan pengenalan budaya yang baru kepada para peserta program. Terima kasih kerpada YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Sembilan yang banyak memberikan sokongan dan kerjasama sempena penganjuran program ini - HJH. ASMAH BINTI YAHYA